![]() |
Talian Pusat Respon Scam Kebangsan 997 seandainya ada yang terkena tipu |
Zaman serba moden sekarang, hampir semua perkara boleh
dilakukan secara atas talian. Nak beli pakaian, makanan, gajet, malah barang
dapur sekali pun. Semuanya hanya di hujung jari yang penting duit saja mesti
ada. Duduk di rumah, klik butang "beli", tunggu beberapa hari barang
pun sampai. Memang mudah, jimat masa, jimat tenaga! Kalau dulu lain kita kena
pergi pasar, jalan-jalan cari barang nak dibeli.
Tapi, di sebalik kemudahan itu, risiko ditipu juga semakin
tinggi. Ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian kerana terpedaya dengan
tawaran yang kelihatan terlalu menarik. Ada yang hilang ratusan ringgit, malah
tidak kurang juga yang kerugian beribu-ribu ringgit kerana sikap tidak
berhati-hati.
Oleh itu, sebagai pengguna bijak, kita perlu sentiasa
berwaspada. Dalam Artikel ini saya akan kongsikan 6 langkah bijak untuk elak
jadi mangsa penipuan dalam penjenayah siber ni dan juga supaya kita tak mudah
terjebak.
1. Beli dari e-dagang platform yang Sah
Langkah pertama ialah membeli hanya dari platform yang sah
dan dipercayai. Contohnya Shopee, Lazada, Tiktok Shop dan platform e-dagang
besar lain. Platform sebegini bertindak sebagai "orang tengah"
(middleman). Maksudnya, duit yang anda bayar tidak terus masuk ke akaun
penjual, sebaliknya disimpan sementara oleh platform. Jika barang tidak sampai
atau tidak sama seperti yang diiklankan, anda boleh membuat tuntutan untuk
mendapatkan semula wang yang dah dibayar.
Namun, jangan salah faham ya,ini tidak bermakna platform
lain seperti Facebook Marketplace, Instagram, atau WhatsApp semuanya tidak selamat.
Cuma kita perlu lebih berhati-hati. Banyak kes penipuan bermula dari platform
media sosial ni. Sebaiknya, beli hanya daripada penjual yang anda kenali atau
mempunyai rekod jualan yang jelas.
2. Jangan Terpedaya dengan Iklan Barang Murah
Pepatah ada mengatakan, "Ada udang disebalik batu".
Contoh mudah: barang yang harga asalnya puluhan ribu ringgit, tiba-tiba dijual
dengan harga ratus-ratus sahaja. Logik ke? Jangan cepat percaya buat dulu usul
periksa. Pasti ada sesuatu yang tak kena disebalik harga murah.
Ramai mangsa tertipu kerana terdesak mencari barangan murah
akibat kekangan kewangan. Tidak salah membeli dengan harga berpatutan, tetapi
pastikan tawaran tersebut masuk akal. Buat semakan harga di beberapa platform
lain untuk dan bandingkan.
Kita mesti ada prinsip mudah iaitu kalau harga terlalu murah
hingga tak masuk akal, besar kemungkinan ia adalah penipuan.
![]() |
Contoh Iklan Di Media Sosial Motorsikal Yang Mahal dengan Harga Murah. |
3. Semak Rekod di Portal CCID
Untuk urusan jual beli diluar platform yang sah. Satu lagi
langkah penting ialah membuat semakan di laman web rasmi CCID (Commercial Crime
Investigation Department) Polis Diraja Malaysia iaitu:
👉
https://semakmule.rmp.gov.my/
Portal ini menyimpan rekod akaun bank, nombor telefon, dan
maklumat lain yang pernah dilaporkan terlibat dalam kes penipuan. Kalau penjual
pernah ada rekod, lebih baik jangan teruskan urusan. Selain itu, anda juga
boleh menyemak di group-group komuniti pengguna di media sosial, contohnya gr0up
info scammer di Facebook. Tetapi, elakkan bergantung sepenuhnya pada sumber
tidak rasmi.
4. Dapatkan Pendapat Orang Lain
Kadang-kadang kita terlalu ghairah nak beli barang murah
sampai tak sempat berfikir panjang. Sebelum membuat pembayaran, ambil sedikit
masa untuk bertanya kepada keluarga, rakan-rakan atau orang yang lebih
berpengalaman.
Sebagai contoh, kalau anda ternampak iklan "emas 916
seberat 500g dijual dengan harga RM500", cuba tanyakan pendapat ahli
keluarga. Pasti mereka akan kata itu tipu dan tak logik. Kalau nak beli emas
pergi saja ke kedai emas atau beli di bank-bank yang tawar pembelian emas secara
online.
Pepatah Melayu ada menyebut, "Malu bertanya, sesat
jalan." Jadi, jangan segan untuk berbincang sebelum membuat keputusan.
5. Buat Kajian Terlebih Dahulu
Jangan terburu-buru. Sebelum membeli, pastikan anda buat
kajian terlebih dahulu. Contohnya, jika ingin membeli motosikal, pergi ke
beberapa kedai sah untuk melihat harga pasaran sebenar. Kalau harga terlalu
murah berbanding biasa, itu dan mencurigakan pasti ada yang tak kena.
Ada satu kata-kata daripada seorang peniaga motosikal:
“Tiada penjual yang akan menjual barang di bawah harga
modal. Walaupun ada diskaun atau promosi, harga tetap perlu masuk akal.”
Lainlah kalau barang tu rosak dan tak boleh diguna pakai.
Ini bermakna, kalau anda nampak iklan motosikal berkuasa
tinggi dijual murah tak masuk akal, besar kemungkinan ia penipuan oleh
penjenayah siber.
6. Berwaspada dengan Panggilan Palsu
Selain penipuan jual beli, ada juga penipuan melalui
panggilan telefon. Modus operandi mereka ialah menyamar sebagai pihak bank,
polis, pegawai LHDN atau agensi tertentu. Biasanya, mereka cuba menakutkan
mangsa dengan mengatakan akaun bank dibekukan, ada hutang cukai, atau terlibat
dengan kes jenayah.
Ingat! Bank, polis, dan LHDN tidak pernah meminta maklumat
peribadi atau bayaran melalui panggilan telefon. Jika anda menerima panggilan
sebegini, segera putuskan talian. Jangan sesekali dedahkan nombor akaun, TAC
atau maklumat peribadi. Kalau nak layan pun tak pa. Layanlah dan troll mereka
ni puas-puas.
![]() |
Sentiasa Berwaspada. Mesej daripada Kementerian Tentang Panggilan Palsu |
Kesimpulan
Penipu dalam talian semakin canggih dan bijak. Mereka memanfaatkan
kealpaan orang. Kadang-kadang penjenayah siber ni sanggup buat laman web tiruan
seakan-akan sama dengan laman rasmi hanya untuk memperdaya mangsa. Oleh itu,
sebagai pengguna bijak, kita mesti sentiasa berhati-hati.
Ingat 6 langkah utama ini:
- Beli hanya di platform yang sah.
- Jangan mudah percaya tawaran murah.
- Semak rekod di portal CCID.
- Minta pendapat orang lain.
- Buat kajian harga pasaran.
- Waspada panggilan palsu.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jangan lupa kongsikan
artikel ini kepada rakan-rakan supaya mereka juga lebih peka. Sama-sama kita
lindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan. Jangan lupa tinggalkan komen
dan juga follow. Saya amat hargainya.
Post a Comment