Fungsi VPN untuk keselamatan dalam talian

Menjaga data peribadi
Fungi VPN. Menjaga Keselamatan dalam Talian


Pernah tak kita guna WiFi percuma di kafe, lapangan terbang atau hotel, kemudian risau kalau ada orang lain boleh intip apa yang kita buat? Atau mungkin kita pernah nak tengok drama Netflix, video youtube kegemaran, tapi keluar mesej “tidak tersedia di negara kita”? Situasi-situasi macam ni memang biasa terjadi, dan di sinilah VPN memainkan peranan penting.

VPN (Virtual Private Network) bukan sekadar alat untuk "hack" kandungan luar negara, tapi ia sebenarnya satu teknologi yang melindungi privasi, keselamatan, dan kebebasan kita di internet. Dalam artikel ini, saya akan mengupas sikit-sikit tentang apa itu VPN, bagaimana ia berfungsi, apa kelebihannya, serta kekurangannya sebelum kita buat keputusan sama ada nak guna atau tidak.

Apa yang Dimaksudkan dengan VPN?

VPN atau Virtual Private Network secara ringkas ialah sebuah perkhidmatan yang membolehkan kita melayari internet dengan selamat dan tidak diketahui orang lain.

Kalau kita ibaratkan internet sebagai jalan raya yang sibuk dan sesak, setiap kali kita online tanpa perlindungan, alamat IP kita umpama nombor plat kereta mudah dilihat dan dijejaki oleh JPJ atau mana-mana orang. Tapi, Dengan VPN, nombor plat ini ditukar kepada nombor lain dari “pelayan” VPN, jadi orang lain tak tahu kita sebenarnya dari mana. Tapi dalam konsep atas jalan raya, jangan pula korang tukar no plat yang dah didaftarkan. Itu salah ya. 

Selain itu, VPN juga mencipta terowong khas untuk data kita. Maksudnya, segala maklumat yang dihantar  sama ada mesej WhatsApp, transaksi bank, atau emel kerja  akan melalui terowong terlindung, jadi orang luar tak boleh intip dengan mudah.

VPN berfungsi dengan mencipta satu saluran komunikasi selamat antara peranti pengguna dengan pelayan internet
Bagaimana VPN Berfungsi?


Bagaimana VPN Berfungsi

VPN berfungsi dengan mencipta satu saluran komunikasi selamat antara peranti pengguna dengan pelayan internet. Semua maklumat yang dihantar atau diterima akan melalui pelayan VPN terlebih dahulu sebelum sampai ke laman web atau aplikasi yang dituju. Apabila menggunakan VPN, perjalanan data itu berubah dengan cara berikut:

1. Penyulitan Data (Data Encryption)

VPN menggunakan teknologi enkripsi untuk menukar data biasa menjadi kod rahsia. Ibarat anda menulis surat, kemudian surat itu dimasukkan ke dalam kotak berkunci sebelum dihantar. Orang yang cuba buka di tengah jalan hanya akan nampak tulisan yang bercampur dan tidak dapat difahami tanpa kunci khas.

Enkripsi ini biasanya menggunakan protokol keselamatan moden seperti AES-256 bit, yang sangat sukar untuk dipecahkan walaupun dengan komputer berteknologi terkini.

2. Terowong Maya (VPN Tunnel)

Selepas data disulitkan, ia dihantar melalui apa yang dipanggil VPN tunnel. Terowong ini ialah laluan khas yang menghubungkan peranti anda dengan pelayan VPN. Semua data keluar masuk akan melalui terowong ini, jadi ia tidak mudah dipintas oleh pihak luar.

Gambaran mudah: anda memandu di jalan raya tetapi kereta anda berada dalam terowong khas yang tertutup. Orang luar tidak nampak siapa di dalam kereta atau barang apa yang dibawa.

3. Pertukaran Alamat IP (IP Masking)

Setiap kali kita melayari internet, peranti kita guna alamat IP sebenar yang boleh mendedahkan lokasi. Bila sambungan dibuat melalui VPN, alamat IP asal digantikan dengan alamat IP daripada pelayan VPN.

Contoh:

  • Tanpa VPN → laman web nampak kita melayari website atau aplikasi internet dari Kuala Lumpur. Contohnyalah. Boleh dijejak.
  • Dengan VPN → laman web Nampak kita melayari web dari Tokyo atau London, bergantung pada lokasi pelayan yang kita pilih

Inilah sebab orang boleh mengakses kandungan yang disekat mengikut lokasi.

4. Hubungan Antara Pelayan dan Laman Web

Selepas alamat IP ditukar, pelayan VPN akan hantar permintaan kita ke laman web sasaran. Dari sudut pandang laman web itu, seolah-olah pelayan VPN yang membuat permintaan, bukan kita. Bila laman web memberi maklum balas, data tersebut akan dihantar balik ke pelayan VPN, kemudian melalui terowong enkripsi tadi sebelum sampai semula ke peranti kita tadi.

5. Protokol VPN

Untuk memastikan proses ni lancar, VPN menggunakan protokol tertentu. Antara yang popular:

  • OpenVPN. seimbang antara keselamatan dan kelajuan.
  • IKEv2/IPSec.  pantas, sesuai untuk telefon pintar.
  • WireGuard. teknologi baru, lebih ringan dan laju.

Protokol ini ibarat peraturan lalu lintas di terowong; ia memastikan kereta (data) bergerak dengan teratur, selamat, dan sampai ke destinasi tanpa gangguan.

Contoh Aliran Ringkas

  1. Kita buka laman web di laptop.
  2. Data dihantar ke pelayan VPN melalui terowong yang dilindungi.
  3. Pelayan VPN menyembunyikan IP asal anda dan menggantikannya dengan IP baru.
  4. Data kemudian dihantar ke laman web sasaran.
  5. Laman web memberi maklum balas → dihantar semula ke pelayan VPN → sampai ke laptop anda dalam bentuk yang masih disulitkan.

Keseluruhan proses ini berlaku dalam beberapa saat sahaja. Dari perspektif pengguna, anda cuma klik laman web dan ia terus muncul seperti biasa, tetapi di belakang tabir, VPN bekerja keras melindungi identiti dan memastikan sambungan itu selamat

VPN Berfungsi menjaga Indentiti, data peribadi daripada dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab
Kelebihan menggunakan VPN


Kelebihan VPN

Ada banyak sebab kenapa VPN semakin popular dalam kalangan pengguna internet. Ia bukan sekadar untuk melayari laman web yang disekat, tetapi lebih kepada melindungi data, identiti, dan pengalaman online secara menyeluruh. Antara manfaat utama VPN ialah:

a) Privasi Lebih Terjamin

VPN menyembunyikan alamat IP sebenar kita dengan menukarnya kepada alamat IP dari pelayan lain. Ini membuatkan pihak ketiga seperti ISP (Internet Service Provider), kerajaan, atau laman web yang kita lawati tidak dapat mengenal pasti lokasi asal dengan tepat. Dalam dunia digital sekarang, privasi peribadi semakin terancam kerana banyak syarikat mahu menjejaki aktiviti kita untuk tujuan iklan atau pengumpulan data. Dengan VPN, kita ada lapisan perlindungan tambahan supaya identiti tidak mudah dikesan. Tapi jangan salah guna sudah la.

b) Keselamatan di WiFi Awam

WiFi percuma sapa tak nak kan? Wifi sama ada di kafe, hotel, atau lapangan terbang memang ramai pengguna. Lebih-lebih lagi kalau laju. Tapi realitinya, WiFi awam paling mudah dieksploitasi penggodam. Tanpa perlindungan, maklumat sensitif seperti kata laluan, nombor kad kredit, atau emel boleh dicuri. VPN menyulitkan semua data yang dihantar, jadi walaupun ada orang cuba mengintip sambungan kita, mereka hanya nampak kod yang mustahil difahami. Ini sebab ramai yang selalu travel jadikan VPN sebagai “teman wajib” setiap kali sambung internet.

Baca juga artikel berkaitan. Apa itu Phishing dan Cara Hindarinya

c) Akses Kandungan Terhad Mengikut Lokasi

Seperti yang saya sebutkan  diatas Ada masa kita nak tonton rancangan Netflix, YouTube, atau baca artikel tertentu, tapi keluar mesej “tidak tersedia di negara anda”. Situasi ini berlaku kerana kandungan tersebut dikawal berdasarkan lokasi. Dengan VPN, kita boleh memilih pelayan di negara lain dan sistem akan menganggap kita berada di sana. Contohnya, dengan sambungan ke pelayan US, kita boleh akses kandungan Netflix versi Amerika tanpa halangan.

d) Elak Penjejakan & Iklan

Pernah tak kalau kita cari sesuatu di Google, di shoppe, Lazada, katakan kita cari kasut sukan. Kemudian secara tak langsung iklan berkaitan kasut sukan asyik muncul di Facebook atau Instagram? Itu kerana aktiviti online kita sentiasa dijejaki melalui alamat IP. VPN membantu mengurangkan perkara ini dengan menyamarkan identiti kita. Bila alamat IP bertukar, sistem pengiklanan lebih sukar menjejaki kita secara tepat. Hasilnya, pengalaman melayari internet jadi lebih bebas tanpa rasa “diperhatikan” sepanjang masa.

e) Bekerja & Belajar Dengan Selamat

Sejak kerja dan pembelajaran jarak jauh menjadi norma, VPN semakin penting untuk akses maklumat syarikat atau institusi pendidikan dengan selamat. Ramai organisasi mewajibkan pekerja mereka menggunakan VPN sebelum masuk ke sistem dalaman. Ini kerana VPN memberi jaminan bahawa dokumen penting, maklumat klien, dan fail sulit tidak jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya. Untuk pelajar pula, VPN memudahkan mereka akses jurnal antarabangsa atau laman pembelajaran yang mungkin dikunci mengikut negara.

 

VPN mengelakkan kita daripada dijejaki, akses yang dikawal dan sebagainya
VPN Menjaga Privasi daripada dijejaki

Kekurangan VPN

Walaupun VPN menawarkan banyak kelebihan dari segi keselamatan dan privasi, ia bukanlah teknologi yang sempurna. Sebagai pengguna, kita perlu faham juga sisi kurang menarik supaya kita boleh membuat keputusan yang lebih bijak sebelum nak gunakannya. Berikut adalah beberapa kekurangan VPN yang perlu diberi perhatian:

a) Kelajuan Internet Boleh Menurun

Salah satu isu paling biasa ialah kelajuan internet menjadi perlahan apabila VPN diaktifkan. Ini berlaku kerana semua data perlu melalui pelayan tambahan sebelum sampai ke destinasi. Lagi jauh pelayan yang dipilih, lagi tinggi kemungkinan kelajuan menurun. Walaupun VPN premium biasanya lebih stabil dan laju, pengguna tetap mungkin perasan perbezaan, terutama bila menonton video dalam resolusi tinggi atau bermain permainan online.

b) Kos Langganan

Kebanyakan perkhidmatan VPN yang benar-benar selamat dan berkualiti adalah berbayar. Harga langganan bulanan atau tahunan mungkin tidak begitu mahal, tetapi bagi sesetengah orang ia tetap menjadi pertimbangan. Sementara itu, VPN percuma pula sering datang dengan pelbagai had seperti had data, kelajuan perlahan, atau iklan mengganggu. Lebih membimbangkan, ada VPN percuma yang menjual data pengguna untuk menjana pendapatan, menjadikan tujuan privasi itu sendiri tidak tercapai.

c) Tidak Semua Servis Menyokong VPN

Ada sesetengah laman web atau aplikasi yang sengaja menyekat pengguna VPN. Contohnya, platform penstriman video besar seperti Netflix atau Disney+ mempunyai sistem yang boleh mengesan trafik VPN dan seterusnya menghalang akses. Begitu juga dengan bank dalam talian yang memerlukan lokasi sebenar pengguna untuk tujuan keselamatan. Dalam kes ini, walaupun anda ada VPN, akses tetap gagal. Situasi ini boleh mengecewakan terutama bila tujuan asal guna VPN adalah untuk mengakses kandungan terhad. 

d) Risiko VPN Tidak Boleh Dipercayai

Tidak semua penyedia VPN boleh dipercayai. Ada yang mendakwa menawarkan perlindungan penuh, tetapi sebenarnya menyimpan log aktiviti pengguna atau menjual data kepada pihak ketiga. Lebih berbahaya, sesetengah VPN percuma mungkin mengandungi malware tersembunyi. Sebab itulah penting untuk memilih penyedia VPN yang mempunyai reputasi baik, dasar “no-log” yang jelas, dan ulasan positif daripada pengguna lain. Salah pilih VPN boleh menjadikan data kita lebih terdedah berbanding jika tidak menggunakannya langsung.

Pastikan penyedia VPN dipercayai.
Jangan tersalah pilih penyedia VPN. 


Baca juga artikel berkaitan : Wifi awam free atau perangkap? 

Rumusan 

VPN adalah alat yang sangat berguna untuk melindungi privasi, meningkatkan keselamatan, dan memberi kebebasan internet kepada kita. Tapi, ia bukanlah penyelesaian “ajaib” untuk semua masalah.

Kalau kita jenis yang selalu guna WiFi awam, suka menonton kandungan global, atau risau tentang keselamatan data peribadi, VPN memang patut jadi pelaburan utama. Pilihlah penyedia VPN yang dipercayai, elakkan VPN percuma yang mencurigakan, dan gunakan ia sebagai tambahan kepada langkah keselamatan lain.

Dunia digital makin canggih, tapi risiko pun makin banyak. Jangan tunggu sampai data kita bocor baru nak bertindak. So, sentiasa berhati-hati dengan menjaga setiap Langkah dan aktiviti yang kita lakukan walaupun secara dalam talian.

Sekian saja perkongsian saya. Boleh tinggalkan komen jika ada persoalan.

Baca juga artikel berkaitan : Apa itu 2FA (Two-Factor Authentication)?

Rujukan 

 ExpressVPN – What is a VPN?

👉 https://www.expressvpn.com/what-is-vpn

NordVPN – How does a VPN work?

👉 https://nordvpn.com/what-is-a-vpn

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post